Mercu Tanda Putrajaya, Taman Putra Perdana

0
1843

Mercu Tanda Putrajaya terletak di Taman Putra Perdana Presint 1 Putrajaya. Taman ini juga terletak di atas bulatan terbesar didunia yang terdapat di Malaysia iaitu di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Presint 1 Putrajaya.

Mercu Tanda Putrajaya ini telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4 dan ke 7 iaitu Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad bersempena dengan pelancaran pembukaan Putrajaya pada 29 Ogos 1995. Ia turut dikenali sebagai kapsul masa dengan menyimpan dokumen-dokumen penting yang berkaitan dengan pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Antara dokumen yang ada didalam kapsul masa ini adalah:

  1. Salinan Kertas Kabinet berkaitan dengan Pembangunan Putrajaya
  2. Salinan Perjanjian Putrajaya
  3. Salinan Enakmen Putrajaya Perlaksanaan Fungsi 1995
  4. Salinan Rang Undang-Undang Perbadanan Putrajaya
  5. Naskah Laporan Teknikal Putrajaya
  6. Naskah Risalah Korporat Putrajaya

Taman ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri di mana mercu tanda pertama telah dibina serta melambangkan titik permulaan pembangunan daripada sebuah ladang kelapa sawit berkembang menjadi sebuah Wilayah Persekutuan. Terdapat dua buah bangunan Ikonik Putrajaya di dalam taman ini iaitu Istana Melawati dan hotel Pulse Grande Putrajaya. Mercu tanda Putrajaya ini dikelilingi tumbuhan, pokok dan air pancut sebagai daya tarikannya. Taman ini juga disediakan 2 buah teropong untuk kemudahan pengunjung bagi melihat keindahan dan pemandangan di Putrajaya. Antara bangunan ikonik yang boleh dilihat adalah Pejabat Perdana Menteri, Masjid Putra dan Jambatan Wawasan.

Selain kapsul masa, terdapat sebuah lagi taman iaitu Laman Megalith. Disini pengunjung berpeluang untuk melihat batu-batu pra-sejarah iaitu Batu Megalith. Pengunjung berpeluang untuk melihat tarikan yang unik di taman ini iaitu Laman Megalith yang memaparkan beberapa koleksi batu megalith yang ditemui pada tahun 1989 di Kampung Gelanggang, Negeri Sembilan. Batu Megalith ialah batu pra-sejarah yang besar dan digunakan untuk membina struktur monumen, baik persendirian atau dibina dengan batu-batu yang lain. Perkataan “Megalith”ini pertama kali digunakan pada tahun 1849 oleh Algernon Herbert dari Britain untuk merujuk kepada monumen Stonehenge. Sebilangan besar batu Megalith yang didirikan adalah diantara zaman Neolitik,Mesolitik, Chalcolithic dan Zaman Gangsa.

Info mengenai Taman Putra Perdana

  • Nama Tempat: Taman Putra Perdana Malaysia
  • Alamat: Atas bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Presint 1 Putrajaya
  • Waktu Operasi : Dibuka setiap hari
  • Lain-Lain Info: Masuk Percuma
  • Peta Lokasi: Taman Putra Perdana Malaysia

Video mengenai Mercu Tanda Putrajaya, Taman Putra Perdana

Mercu Tanda Putrajaya, Taman Putra Perdana

Kredit: Perbadanan Putrajaya, Youtube Menarik Di Putrajaya, Wikipedia

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini